Sunday, April 26, 2009

JKPKP PERLU MERAPATKAN JURANG PERBEZAAN FAHAMAN DAN IDEOLOGI

Gambar 1:
YAB Menteri Besar Perlis sedang berucap untuk Perasmian Blog JKPKP

Gambar 2:
Ketua Biro Bernama (Kiri), YAB Menteri Besar (Tengah) dan Pengarah Penerangan (Kanan) mendengar ucapan aluan Pengarah Penyiaran

Gambar 3:
Tayangan Blog JKPKP melalui skrin layar


Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan (JKPKP) perlu berusaha merapatkan jurang perbezaan fahaman dan ideologi tertentu di kalangan masyarakat bagi mewujudkan keharmonian. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata JKPKP sewajarnya menggunakan kekuatan yang ada bagi meredakan keresahan masyarakat yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai isu.

JKPKP Perlis dianggotai oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Bernama. Peranan RTM dan Bernama dalam melaporkan berita-berita semasa begitu juga dengan Jabatan Penerangan dan JASA yang sentiasa melaksanakan program yang boleh meningkatkan jati diri masyarakat kepada negara, katanya merasmikan Hari Terbuka Perlisfm sempena sambutan ulang tahun RTM ke-63 di sini hari ini.

Sempena hari terbuka itu, Menteri Besar Perlis turut melancarkan laman blog JKPKP yang boleh dilayari di http://northernmoi.blogspot.com. Turut diadakan ialah program uji bakat drama, uji bakat pembaca berita, kuiz, pertandingan deejay, demonstrasi masakan dan pameran.

Sementara itu Pengarah Penerangan Perlis, Sobki Saad yang juga Pengerusi JKPKP berharap orang ramai dapat memanfaatkan laman blog JKPKP untuk menyampaikan pandangan mereka. Katanya, pandangan orang ramai melalui laman blog itu sentiasa dihargai dan jawatankuasa tersebut tidak akan memandang ringan pelbagai isu yang dibangkitkan. (Sumber: BERNAMA)

Saturday, April 25, 2009

PENULIS BLOG PERLU JAYAKAN "SATU MALAYSIA"


Penulis 'blog' harus turut menyemai dan menjayakan Konsep 'Satu Malaysia', kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim. Menurutnya genre penulisan yang semakin popular menerusi internet itu boleh mendorong masyarakat untuk bekerja secara ikhlas dan bersatu-padu.

Selain menyuarakan pandangan secara kritis, beliau berharap penulis blog "harus memberi markah positif" kepada perkara betul yang dilakukan kerajaan. Dalam pertemuan dengan penulis blog tempatan di sini Rabu malam, Rais berkata sebagai menteri berkenaan, beliau mahu menghulurkan salam persahabatan dan bukan menyukarkan mana-mana pihak yang dapat menyumbang kepada budaya berfikir masyarakat.

Sambil menyatakan beliau masih mencari perkataan yang sesuai untuk 'blog' dan blogger', beliau berkata sejak munculnya Internet, "dunia maya" yang tidak mempunyai sempadan, budaya masyarakat di negara ini turut berubah. Katanya media penulisan menerusi kertas menjadi kurang diminati generasi muda yang kini cenderung kepada genre internet -- "blog dan Facebook".

"Saya telah nyatakan kepada kakitangan saya bahawa jika anda tidak sensitif terhadap apa yang berlaku dalam dunia maya ini, jabatan anda akan menjadi 'kuno'," katanya. Beliau berkata perkembangan itu memerlukan jentera dan keupayaan kerajaan mengimbas apa yang diperkatakan melalui blog dan menjawab secara intelektual.

Rais berharap penulis blog menggunakan fakta yang benar dalam tulisan mereka dan bukan menjadikan saluran itu untuk memfitnah. "Reputasi akan luntur (jika menggunakan fakta tidak benar) kerana bagi penulis blog, kredibiliti adalah penting," katanya. Beliau berpendapat sebagaimana wartawan akhbar perlu mematuhi etika kewartawanan, penulis blog harus mempunyai etika tersendiri. (Sumber: BERNAMA)