Thursday, January 29, 2009

DR. JUANDA JAYA MUFTI PERLIS YANG BARU



Tahniah di atas perlantikan Dr Juanda Jaya sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang baru. Beliau merupakan anak kelahiran Negeri Sarawak yang sebelum ini banyak menyertai program berkaitan Islam di Negeri Perlis selain dibawa bersama ke luar negara oleh Kerajaan Perlis untuk kegiatan dakwah. Menurut Dr. Juanda, “Pelantikan saya sebagai Mufti Perlis adalah bukti hubungan integrasi yang telus, dan kalau sebelum ini ramai tokoh agama dari Semenanjung dijemput ke Sarawak dan Sabah, namun hari ini kita juga boleh dijemput di Semenanjung,” katanya kepada Bernama. Dr. Juanda, 37, yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pangarah Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak, akan melapor diri pada Februari depan.

Menurut beliau lagi, surat pelantikannya sebagai Mufti Perlis diterima pada akhir November 2008 tetapi ia terpaksa ditangguh ke bulan depan kerana beliau menunaikan haji. Menurutnya kerajaan Sarawak membenarkan beliau berkhidmat di Perlis selama tiga tahun iaitu sehingga Februari 2012. Dr. Juanda berkata dengan pengalaman selama lima tahun sebagai Timbalan Mufti Sarawak, beliau tidak nampak sebarang masalah baginya untuk memberikan perkhidmatan terbaik bukan saja kepada rakyat di Perlis malah juga negara dalam menegakkan syiar Islam.

Sebagai anak Sarawak pertama yang dilantik sebagai mufti di luar Sarawak, beliau berkata ia adalah satu penghormatan tertinggi yang diberikan kepada negeri itu oleh DYMM Raja Perlis. Dr. Juanda menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kontraknya tamat pada 30 November tahun lalu setelah dua tahun berkhidmat sebagai Mufti Perlis. Dr. Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah. Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang. (Sumber: BERNAMA)

Tuesday, January 27, 2009

DENGGI ITU PEMBUNUH!!!


Denggi adalah penyakit bermusim yang bukan sahaja melanda di negara kita bahkan di negara-negara Tropika yang lain. Kewujudan deman denggi ini dikesan sekitar tahun 1970an di mana pada masa tersebut hanya beberapa negara sahaja yang dilanda wabak ini dan jumlah ini meningkat ke hampir 40% jumlah penduduk dunia yang menghidap penyakit ini sekarang. Malaysia adalah diantara negara yang menjadi serangan wabak denggi ini secara agresif dimana beberapa kes demam denggi berdarah dicatatkan setiap tahun dan ini membimbangkan ramai pihak terutamanya pihak Kerajaan yang telah bertungkus lumus menjalankan aktiviti-aktiviti melalui pihak-pihak yang terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi menangani masalah wabak denggi ini.

Terdapat 4 jenis virus denggi yang dikesan iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan Den 4. Penghasilan virus ini telah disebarkan oleh 2 jenis nyamuk iaitu:

Nyamuk Aedes Aegypti
Nyamuk jenis ini kerap didapati berterbangan dikawasan rumah dan ia bertelur dan membiak secara agresif didalam bekas buatan yang terdapat didalam mahupun diluar rumah.

Nyamuk Aedes Albopictus
Nyamuk jenis ini pula adalah penyebar virus denggi yang paling banyak berlaku di kawasan bandar di negara kita ini. Ia membiak dengan agresif dikawasan luar rumah terutamanya didaun atau pasu bunga, kawasan kotor, pokok, kawasan semak serta kawasan tumbuh-tumbuhan yang lain.

Demam Denggi Biasa
Tanda-tanda demam ini bergantung kepada umur mangsa. Demam ini akan menghasilkan tompokan ruam serta kesan demam yang kuat pada kanak-kanak atau bayi manakala bagi dewasa pula kesan demam yang kuat berlaku secara mendadak dan berlangsung selama seminggu, selain daripada itu kemunculan ruam serta sakit pada otot, sendi dan mata akan berlaku pada hari ke 3 demam. kesan bintik merah dibawah kulit juga akan terhasil.

Demam Denggi Berdarah

Kesan kepada demam ini merangkumi beberapa faktor seperti:
1. Pendarahan pada hidung, gusi serta tompokan ruan yang banyak dikawasan bawah kulit, pendarahan pada najis, kencing berdarah serta pengeluaran haid yang berlebihan.

2. Pembesaran hati mungkin terjadi pada peringkat awal dan pembesaran ini mungkin mencecah ke 2-4cm pada bahagian bawah tulang rusuk kanan.

3. Kegagalan dan gangguan peredaran darah berlaku dengan tanda-tanada seperti kesejukan, konjesti kulit, kebiruan serta kadar degupan nadi yang kuat. Mangsa akan menjadi resah dan lemah dan mungkin akan mengalami renjatan serta sawan.

Oleh itu, beringat serta cegahlah wabak ini dari menular dengan memastikan kebersihan persekitaran kawasan rumah kita. Pastikan tiada takungan air berlaku dan bersihkan sampah sarap yang terdapat di rumah kita. Berjumpalah dengan pakar ataupun doktor jika anda mengalami sintom seperti diatas. Sayangi keluarga kita, lakukan sesuatu untuk mengelakkan perkara buruk yang bakal terjadi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Hapuskan denggi keluarga sejahtera.
DENGGI ITU PEMBUNUH!

SUBSIDI GULA.....


Kerajaan terpaksa menampung subsidi jika harga gula kekal pada RM1.45 sekilogram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad. Sharir berkata, ini kerana harga komoditi itu di pasaran dunia sudah meningkat. "Kontrak pembekalan gula dari negara pengeluar tamat tahun lalu dan kontrak baru meletakkan harga lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu di sini, hari ini. Beliau mewakili Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Shahrir sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan harga gula berikutan kenaikan harga barangan itu di pasaran antarabangsa dan 80 hingga 90 peratus bekalan gula negara adalah dari luar negara. Katanya kementerian kini dalam proses pengumpulan maklumat sebelum menetapkan harga baru gula. (Sumber: Bernama)

BERHATI-HATI DI JALAN RAYA


Dua puluh lapan orang, kebanyakannya pengguna motosikal, maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah kematian sejak Ops Sikap ke-19 dilancar Isnin lalu seramai 104 orang. Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintende Rasdi Ramli, berkata yang maut adalah 23 pengguna motosikal, tiga pengguna kereta dan dua pejalan kaki. "Sebanyak 354 kemalangan berlaku di jalan bandaran, 311 kes di jalan persekutuan, 188 di jalan negeri dan 114 di lebuh raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Sebanyak 7,573 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik. (Sumber: Bernama)

Monday, January 19, 2009

KEKEJAMAN YANG BERTERUSAN....


Kita tidak mampu untuk memberi pertolongan selain menghulurkan sumbangan berbentuk makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Penindasan terhadap rakyat Palestin akan terus berlaku walaupun keselamatan dunia dikawal dan diselia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saban hari puluhan mayat bergelimpangan dan bumi Palestin terus dibedil tanpa rasa belas kasihan. Untuk itu sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama memohon doa dan terus menjadi penyumbang ke arah keamanan Palestin.

Sunday, January 18, 2009

SELAMAT DATANG KE JKPKP PERLIS

Kami Ahli Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Malaysia (JKPKP) Negeri Perlis mengalu-alukan kunjungan anda ke blog ini. Tujuan blog ini dihasilkan adalah untuk menyampaikan informasi terkini berkaitan program-program atau aktiviti JKPKP Negeri Perlis yang membabitkan kerjasama antara agensi-agensi Kementerian Penerangan iaitu Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), BERNAMA, dan Jabatan Penyiaran Negeri. Selain itu, kami juga akan mengenengahkan dasar-dasar Kerajaan, isu-isu semasa (negeri / negara / antarabangsa) dan perkara-perkara yang berkaitan dengan sosial-politik-ekonomi untuk tatapan anda. Oleh yang demikian, kami berharap pengunjung blog ini dapat memberi komen dan pandangan setiap isu yang dipaparkan dari masa ke semasa. Anda juga boleh menyalurkan maklumat kepada kami melalui e-mail: northernmoi@yahoo.com. Terima kasih.